GLUCOSAMINE

Kesedaran kepada kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Beberapa kajian soal selidik di Malaysia dan di negara barat mendapati selain produk ubat berpreskripsi, pengguna juga banyak berbelanja untuk membeli produk-produk suplemen kesihatan.

Antara jenis suplemen kesihatan yang kerap digunakan ialah glucosamine dan chondroitin, pelbagai vitamin dan unsur surih serta produk makanan tambahan. Kajian juga menunjukkan bahawa hampir keseluruhan pengguna yang membeli produk suplemen mengandungi glucosamine ialah golongan individu yang mempunyai masalah sendi.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan glucosamine dalam membantu pesakit yang mempunyai masalah sendi seperti arthritis? Adakah ia betul-betul selamat dan boleh digunakan secara berpanjangan tanpa pengawasan profesional kesihatan?

Glucosamine dan kegunaannya:
Glucosamine ialah kompaun biokimia yang terhasil secara semulajadi dalam badan manusia. Ia juga wujud dalam organisma lain seperti tumbuhan dan haiwan bercangkerang. Glucosamine ialah sejenis gula amino yang bergabung menjadi rantaian kanji ringkas dan berfungsi dalam pembentukan beberapa jenis protein dan lemak yang lain.

Fungsi glucosamine yang lainnya ialah menjadi blok asas binaan kartilaj. Kartilaj ini pula berfungsi memberi perlindungan antara dua hujung tulang atau sendi yang bertemu agar pergerakan sendi lebih lancar. Peranan ini yang menjadikan glucosamine antara produk suplemen yang paling banyak diambil oleh pesakit sendi osteoarthritis (OA) untuk mengurangkan kesakitan. Glucosamine membantu memperbaiki fungsi pergerakan anggota untuk pesakit yang menghidapi OA pada paha dan lutut. Ia juga membantu mengurangkan pembengkakan pada sendi.

Kebanyakan produk glucosamine yang terdapat dalam pasaran terhasil daripada proses hidrolisis polisakarida hidupan bercangkerang. Ada juga beberapa produk yang terhasil daripada pemeraman bijirin. Sumber penghasilan glucosamine ini akan menentukan tahap keselamatannya sebagai suplemen kesihatan. Glucosamine yang terhasil pula wujud sebagai glucosamine sulfate dan glucosamine hydrochloride. Perbezaan kumpulan garam yang diikat pada rantaian glucosamine ini pula memberikan perbezaan dalam keberkesanan produk glucosamine. Menurut beberapa kajian, glucosamine sulfate menunjukkan kesan yang lebih positif untuk pesakit OA berbanding glucosamine jenis lain.

Keberkesanan Produk Glucosamine:
Walaupun produk glucosamine ini banyak digunakan sebagai suplemen kesihatan, namun keberkesanannya masih dipersoalkan. Kajian untuk membuktikan kesan positif glucosamine menunjukkan keputusan yang pelbagai. Beberapa kajian saintifik ada menunjukkan glucosamine adalah efektif merawat OA dengan mengurangkan kesakitan pada sendi. Perkara ini dikaitkan dengan kesan glucosamine terhadap pembentukan kartilaj yang baru dan mengurangkan degradasi kartilaj akibat peningkatan usia.

Kajian-kajian lain pula menunjukkan glucosamine dapat membantu memperlahankan perkembangan penyakit OA. Glucosamine juga diguna sebagai alternatif yang bagus untuk pesakit yang mengalami kesan sampingan pada sistem gastrousus selepas mengambil ubat penahan sakit daripada kumpulan NSAID dan paracetamol.

Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan keputusan yang sebaliknya. Sebuah kajian yang melibatkan pesakit arthritis yang diberikan dos glucosamine dan plasebo secara rawak mendapati tiada perbezaan yang ketara dilihat kepada pesakit yang mengambil glucosamine daripada segi pengurangan rasa sakit pada sendi. Para saintis juga tidak dapat menghuraikan dengan terperinci bagaimanakah mekanisme pembaikan glucosamine kepada kartilaj pesakit OA.

Selain daripada itu, terdapat juga perbincangan mengenai jenis sediaan produk glucosamine yang paling berkesan membantu dalam OA. Pakar berpendapat suntikan terus glucosamine ke kawasan sendi yang mengalami keradangan adalah paling bermanfaat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, produk suntikan glucosamine masih belum ada secara meluas dalam pasaran dunia.

Glucosamine dalam bentuk tablet lebih banyak dipasarkan sebagai produk suplemen kesihatan. Namun, pakar mendapati kadar penyerapan glucosamine yang diambil dalam bentuk tablet adalah kurang jika dibandingkan dengan cecair glucosamine yang diminum. Walau bagaimanapun, kesan yang positif hanya dilihat dalam kalangan pesakit yang mengambil produk cecair glucosamine yang berkualiti tinggi (dihasilkan daripada sumber yang lebih bermutu).

Keselamatan Produk Glucosamine
Secara umumnya produk glucosamine adalah selamat dan tidak menunjukkan kesan sampingan yang serius. Satu kajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati glucosamine yang diambil pada dos 1500miligram sehari adalah selamat untuk diambil. Oleh itu, pengguna yang mengambil suplemen glucosamine haruslah mematuhi dos yang disarankan pada label atau risalah produk.

Selain daripada itu, satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian oleh pengguna ialah mengenai sumber glucosamine. Terdapat dua pendapat yang bercanggah mengenai risiko menyebabkan kesan alergi selepas pengambilan produk glucosamine. Pendapat pertama mengatakan walaupun glucosamine dihasilkan daripada haiwan bercangkerang, ia tidak menyebabkan kesan alergi yang serupa seperti yang disebabkan oleh pengambilan makanan daripada sumber haiwan laut seperti ikan dan udang.

Pendapat kedua pula mengatakan bahawa pengguna yang sememangnya alah kepada makanan laut akan berpotensi untuk mengalami kesan alergi kepada glucosamine yang dihasilkan daripada haiwan bercangkerang seperti udang kara dan crustacea yang lain. Oleh itu, pengguna yang mempunyai alahan kepada makanan laut dinasihatkan untuk memilih produk glucosamine yang dihasilkan daripada sumber bukan haiwan.

Produk glucosamine jarang menyebabkan kesan sampingan. Jika ada pun, kesan sampingan yang dialami adalah biasa dan akan hilang dengan sendirinya. Produk glucosamine juga dikhuatiri memberi kesan terhadap proses metabolisme gula dalam badan terutamanya bagi pesakit yang mengambil glucosamine pada dos yang tinggi.

Terdapat beberapa pendapat mengatakan penggunaan glucosamine tanpa pengawalan doktor boleh membawa kepada kerosakan sel pancreas dan akhirnya menyebabkan diabetes. Namun, kajian-kajian yang dijalankan untuk melihat kesan dos glucosamine yang tinggi kepada proses metabolisme gula tidak menunjukkan bukti yang sama. Justeru, pengguna dinasihatkan untuk tidak mengambil glucosamine melebihi dos yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar.

Kesimpulan
Pengguna yang bercadang untuk menggunakan sebarang produk suplemen termasuk yang mengandungi glucosamine digalakkan untuk mendapatkan produk suplemen yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan terdapat nombor pendaftaran MAL dan pelekat hologram yang tulen pada botol atau label produk.

Memandangkan terdapat perbezaan pendapat mengenai keberkesanan dan keselamatan produk glucosamine, pengguna harus bijak dalam membuat keputusan. Suplemen glucosamine adalah untuk tujuan membantu dalam mengurangkan simptom keradangan dan ia bukan merupakan rawatan yang utama. Pesakit yang telah didiagnosis menghidapi OA perlu mendapatkan rawatan doktor di hospital.

Penggunaan secara sederhana dapat mengelakkan apa-apa kesan yang tidak diingini daripada produk glucosamine. Pengguna juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengambil sebarang ubat suplemen termasuk glucosamine. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.

SUMBER: https://knowyourmedicine.gov.my/ms/infografik/apakah-itu-glucosamine

Leave a Reply

Your email address will not be published.