OMEGA 3 DAN MANFAATNYA

Omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh. Ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian. Secara amnya, omega-3 banyak memberi kebaikan kepada kesihatan kita seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, mencegah kemurungan dan mampu mencegah beberapa jenis kanser.

Sumber Makanan

Secara amnya, omega-3 boleh didapati daripada pelbagai sumber, sama ada daripada sumber haiwan atau tumbuhan. Walau bagaimanapun, omega-3 paling kaya dalam sumber ikan laut dalam seperti

  • Ikan tuna
  • Ikan parang
  • Ikan sardin
  • Ikan kembung
  • Ikan bilis

Kepentingan

Omega-3 berperanan penting dalam mencegah penyakit kardiovaskular. Ia juga berperanan penting dalam mencegah jangkitan dan mengelakkan pembentukan plak di dalam salur darah.

  1. Omega-3 dan Kesihatan Jantung – Penyakit jantung merupakan penyebab utama kematian di kebanyakan negara-negara membangun. Omega-3 dapat mengurangkan risiko berkaitan penyakit jantung seperti mengurangkan tahap kolesterol dalam darah dan tekanan darah tinggi.
  2. Omega-3 dan Tekanan Darah Tinggi – Masalah tekanan darah tinggi sangat berkait rapat dengan pengambilan garam dan lemak tepu yang berlebihan. Bagi memastikan amalan pemakanan yang lebih sihat, anda bolehlah menggantikan hidangan seperti daging dengan hidangan ikan bagi suatu waktu makan utama. Ini kerana kandungan omega-3 yang tinggi dalam produk ikan dapat menurunkan tekanan darah tinggi.
  3. Omega-3 Menurunkan Tahap Kolesterol Dalam Darah – Kajian menunjukkan pengambilan omega-3 dapat menurunkan tahap trigliserida dan pada masa yang sama ia juga mampu meningkatkan tahap kolesterol HDL (kolesterol baik) di dalam darah.
  4. Omega-3 dan Kanser – Omega-3 juga dikaitkan dengan pencegahan beberapa jenis kanser seperti kanser usus, kanser payudara dan kanser prostat.
  5. Omega-3 dan Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak – Omega-3 daripada kelas DHA (Docohexanoic acid) dan EPA (Eicosapentanoic acid) amat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak. Ia membantu sel otak untuk berhubung dan seterusnya mempengaruhi fungsi pemikiran dan pembelajaran kanak-kanak.

Kebaikan-Kebaikan Lain Omega-3

  • Meningkatkan tahap kesuburan
  • Mencegah masalah berkaitan mental seperti dementia (nyanyuk) dan kemurungan
  • Mencegah kejadian strok (angin ahmar)
  • Mengurangkan risiko diabetes (kencing manis)
  • Mencegah arthritis (sakit pada sendi)

Adakah Pengambilan Suplemen Minyak Ikan Suatu Keperluan? 

Pada zaman ini, terdapat pelbagai produk suplemen omega-3 di pasaran terutamanya dalam bentuk suplemen minyak ikan. Mungkin ramai antara kita yang terpengaruh dengan pengambilan suplemen minyak ikan ini untuk tujuan penjagaan kesihatan. Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen ini hanyalah disarankan kepada individu yang mengalami kekurangan pengambilan kumpulan asid lemak penting daripada diet harian.

SUMBER: http://www.myhealth.gov.my/omega-3-laut-dalam/

Leave a Reply

Your email address will not be published.